Feb 26, 2013

kesah kisah

Aku pernah lalui banyak perkara. dan dari banyak-banyak perkara itu, langsung tiada yang pernah aku lalui jalan yang sepatutnya. Aku selalu terlupa, pada ketetapan. dan aku selalu merungut bila di akhirnya, kisah nya berlainan dengan skrip yang aku karang. Aku tetap terlupa, aku siapa. atas ehsan Dia yang tidak pernah lupa aku walau sesaat, aku masih mampu bernafas. Kali ini, aku seinginnya mahu skrip aku terikut. tapi aku tidak mahu lagi pentingkan diri. Terlalu banyak benda yang berlaku. sampai satu tahap, aku rasa aku seperti dijadikan tikus makmal. dieksperimen untuk kajian-kajian yang entah apa tujuannya. satu cerita, aku selalu ingat. aku rasa dalam mimpi mungkin. sebab cerita itu sangat mengasyikkan. tapi, entah kenapa aku selalu kurang mempercayai. aku rasa aku masih lagi menjadi objek, dan bukan pemberian setara. aku seaakan terfikir, apakah benar ungkapan itu? aku mahu positif, jadi aku ambil sebagai ya. tapi perkara dulu. tapi aku tak pernah serik mengulang, mengarang. aku cuba sebab aku ngerti yang aku pernah lakukan sesuatu yang jahil. aku rasa aku betulkan. tapi kali ini, aku mengharap pada Dia. agar segalanya, akan ditunjukkan jalan. jalan supaya skrip aku betul atau masih salah. itu penting, sebab hanya pada Dia aku mengharap. aku sudah tidak boleh ikut kata raja diri aku, hati. sebab hati aku tak telus. banyak sangat cacat, cela.

aku sekarang adalah kepompong. ya, lama aku bermetamofosis dan aku harap aku akan menjadi seekor rerama, bukan kekupu. aku mahu cantiknya sayap rerama dapat membantu reramai orang. itu sahaja. aku mahu buat kal ini dengan rasa dan tujuan keranaNya. bantulah aku wahai Allah. hanya padaMu tempat aku memohon.

Jul 10, 2012

Bagai Runtuhnya WTC: Gua Bukan Penyokong Mana-Mana Pihak; Analogi Sudah.

Sedang Dengar: xfm online

Bahalul.

Gua rasa macam baru semalam je gua tengok WTC kat depan mata gua.Gua masih lagi dok tercegat tengok betapa megahnya dan gahnya bangunan tu. Rasa tak berkedip mata dok melawan pandangan dengan ia, walau pon gua rasa macam syok sendiri je, sebab WTC mana ada mata. Haha. Tup-tup, dengar-dengar khabar hari ini dah runtuh dah bangunan tu. Apa kes pulak kan? Tiba-tiba lak musnah. Hebat. Entah, dengar-dengar ada je pihak nak disalahkan, propa je semua. Nak kata apa dah, bukti dah jelas-jelas dah pon. Kukuh pulak tu. Itulah, tengok tak nak guna mata, tengok guna kepala je. Tau la mata letak kat kepala. Macam jugak runtuh hati gua hari ni, bila pandangan dan pendapat ITU yang buat gua rebah. Entah, senang cerita, gua cuma mengusik dengan kadar yang kasar, tapi dia-dia boleh bikin jadi hal pulak. Memang propa gak la kot. Entah. Sama je kan? WTC dengan hati gua. Tapi, yang sama robohnya itu, bukan kisah-kisah disebalik/diantara WTC tu. Maaf, gua bukan penyokong AMERIKA/ZIONIS. Bahalul~

Tak ada kaitan pun sebenarnya. Haha.

/out

bila kata-kata yang diucap
dijadikan tudung penutup
bukan untuk diukur dan dipadan
sama saizkah dengan badan
dan tiap sinis bahasa 
ngerti dahulu ia
baru buat bahas
jangan asyik kias
kerna, jujur dalam bicara memang pedih
benar itu bukan semanis dadih



Jul 8, 2011

Aku Bukan Rasis

Hari ini, aku masih terpacak sebagai pekerja di tempat aku bekerja. Asing, sebab aku dikelilingi oleh manusia-manusia yang majoritinya adalah minoriti, cuma beberapa sahaja yang bukan asing. Sungguh, hati ini dicarik-carik dengan sikap dan perangai mereka. Pernah sekali aku berbicara, pastinya dengan guna bahasa Melayu, dan rakan sekerja ku mengatakan yang dia sudah lama tidak berbahasa Melayu. Ahh, rasa ditampar-tampar muka ku mendengar bicara sebegitu, rasa panas telinga ku. Bayangkan, lahir di Malaysia, duduk hampir seumur hidup di bumi Malaysia, namun, sudah lama tidak bercakap dengan bahasa Kebangsaan. Aku pelik, aku jelik. Mengapa masih wujud segelintir masyarakat Malaysia yang masih tidak fasih, masih tidak mahu menggunakan bahasa Kebangsaan. Bukan aku menidakkan hak mereka untuk berbicara dalam bahasa ibunda mereka, tapi mengapa mereka seakaan tidak mengenal dan tidak tahu menggunakan bahasa Melayu. Mereka seakan lupa di mana bumi dipijak, di situ langit di junjung.

Hari ini, aku berbangga jadi anak Melayu. Di sebalik permasalahan dan haru-biru yang dialami bangsa ku, aku masih bangga. Walau dalam diriku, mengalir sedikit darah bangsa keturunan lain, aku masih mahu bangga dan mendabik dada sebagai bangsa Melayu. Cukup dengan bangsa, aku juga berbangga sebab aku ini orang Islam. Hari ini, satu peristiwa terjadi, pastinya menimbulkan kekecohan yang amat di tempat kerja ku. Itulah, pandangan serong kaum lain terhadap bangsa ku. Walau begitu, hati ini masih teguh menyokong bangsa ku, walau salah itu hadir dari bangsa ku. Aku bukan mahu menyokong yang salah, cuma aku benci bilamana mereka menghukum dan terus menghukum bangsa ku. Perspektif buruk yang mereka lemparkan, seakan terus tersemat di dalam sanubari anak bangsa mereka.

Tapi, aku bukan rasis. Ini bukan cerita mengenai rasis. Ini cerita mengenai cinta dan sayang akan bangsa. Aku sayang bangsa dan agamaku. Aku cinta sungguh-sungguh!!

Kepak dibuka
Dada kembang
Jalan mendabik
Penuh juang
Semangat perkasa
Pertiwi tercinta
Pasti genggam
Walau jadi apa
Agama, Bangsa, Negara 

May 14, 2011

Nilai Sebuah Pengorbanan

Acapkali kita lupa pada erti sebuah pengorbanan. Kita pandang enteng, umpama tiada nilai dan harga. Tapi, pengorbanan yang dilakukan, cukup besar, walau tak nampak pada mata kasar dan perlakuan. Kita mudah berkata, seperti hanya kita yang benar. Kita menuding jari, menolak kesalahan pada orang lain. Kita tak pernah sedar, senantiasa ada orang yang berkorban demi untuk kita. Senantiasa ada orang yang sanggup menggadaikan nyawa sendiri demi melihat kita bernafas lega. Di mana kita letak nilai sebuah pengorbanan? Pengorbanan bukan diukur dari luaran, dari fizikal dan dari rupa. Pengorbanan itu luas "skop"nya, dari setiap aspek dan sudut. Mungkin, yang kita pandang hanya dari sebelah sisi, tapi dari satu sisi lagi? Jadi, cuba perhati hati-hati, lihat dahulu kebaikan, baru keji keburukan. Kita akan nampak, dalam sedar dan nyata apa itu erti sebuah pengorbanan. Kita selalu tersedar, selepas kita kehilangan. Jadi, sudah tiada lagi erti sebuah pengorbanan. Walau sedikit, namun ia masih perlu dihargai.


hidup punya nilai
bukan mesti dinilai
tapi perlu diberi penilaian
agar lebih bernilai

jadi, hargai sementara masih ada
sayang sementara masih rindu
jangan kelak menyesal
air mata pengubat lara
 

May 9, 2011

Hari Penghabisan

Hari ini umpama hari penghabisan untukku. Hari ini, hari terakhir aku akan berjuang, penuh dengan semangat untuk menuju ke destinasi itu. Semua ranjau, walau tidak semua dapat ku tempuh dengan cemerlang, diharap dapat menambah sedikit pengalaman untuk ku buat bekal pada masa hadapan. Di dalam jeda masa ini, banyak pahit dan manis ku tempuh. Namun, kebanyakannya adalah demi diriku sendiri, asbab yang ku cipta hingga diri sendiri yang makan bahananya. Tapi, aku masih berharapan agar diberi sedikit peluang oleh Yang Maha Esa untuk terus melangkah dan bergerak ke hadapan. Harapannya, langkah ini tidak akan berhenti disini, kerna aku mahu masih bergerak dan menempuhi ranjau-ranjau yang bakal melanda.

May 5, 2011

Kisah Pertama

Sesungguhnya, usaha demi usaha yang terbengkalai, akhirnya bejaya disudahkan dengan penghasilan "post" pertama ini. Syukur ke-hadrat Illahi kerna dengan izin dan rahmat-Nya, dapat jua meneruskan penulisan ini. Selawat dan Salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad S.A.W.

Diharap, laman ini dapat menjadi satu medium untuk membawa semua menuju ke satu dimensi baru, lembah fantasi yang disulami bunga-bunga kata.